Jumaat, 27 Ogos 2010

Home » » Pokok Jagung

Pokok Jagung

Asalamulaikum..Bagi info tani dalam Kategori Warisan AgroTani, Laksamana akan mengupas mengenai  bidang-bidang pertanian atau asas tani.Bidang Pertanian merupakan salah satu penyumbang ekonomi negara, malah bidang ini banyak menyediakan peluang-peluang perniagaan dan perkejaan..Tidak asing lagi bidang ini banyak mendapat peruntukan dari kerajaan..Untuk Memulakan entri dalam Warisan AgroTani ini Laksamana telah memilih Tumbuhan atau pokok Jagung. Terdapat 2 jenis jagung yang biasa di tanan iaitu jenis Jagung Manis yang terdiri daripada Hybrid No 5, Masmadu dan Thai Super Sweet.Manakala jenis kedua ialah Jagung Muda: Thai Super Sweet.

Setiap penanaman sesuatu tanaman haruslah mempunyai peringkat atau turutan yang tersendiri begitu juga dalam penanaman Jagung ini, Antara Turutan dalam penanaman Jagung adalah Pemilihan Tapak,Penyediaan Tanah,Menanam,Merumput,Pembajaan dan Kawalan Perosak dan Penuaian.

Pemilihan Tapak
Jagung manis/ muda boleh tumbuh di tanah yang berpengairan baik tetapi ia menunjukkan pertumbuhan yang lebih baik di tanah lom dalam dan lom berlodak yang mengandungi bahan organik dan dibekalkan dengan nutrien sedia ada. Jagung manis/ muda juga boleh tumbuh secara sederhana di tanah acid (serendah pH 5.0), tetapi pH 6 – 7 lebih utama. Tapak unggul untuk penanaman jagung manis/ muda ialah tanah datar atau sedikit beralun.

Penanaman jagung manis/ muda berterusan di sesuatu tapak adalah tidak disyorkan. Tanaman bergilir dengan kacang tanah, kacang soya, keledek dan tanaman lain memberikan faedah dalam pengeluaran tanaman dan pengurusan tanah.

Penyediaan Tanah
Penyediaan tanah termasuk merata, membakar dan mengembur dan perparitan bagi tempat yang rendah. Mengembur tanah boleh dilakukan secara manual dengan menggunakan cangkul atau secara mekanisasi dengan menggunakan ‘pedestrian power tiller’.

Kawasan yang dibajak akan memberikan keadaan tanah yang baik untuk proses percambahan.

Menanam
Selepas penyediaan tanah, 2 biji benih dimasukkan ke dalam setiap lubang penanaman 60 cm di antara dan dalam baris. Jarak ini memerlukan 10 – 20 kg/ ha benih. Jarak tanaman untuk jagung muda ialah 45 cm X 45 cm dan 20 – 25 kg/ha benih diperlukan.

Jagung manis tidak boleh ditanam bersama-sama dengan varieti jagung lain kerana ini akan memberi kesan kepada kualiti kemanisannya.

Merumput
Jagung manis/ muda tidak toleransi dengan persaingan rumpai. Oleh itu, amat penting untuk memastikan ladang penanamannya bebas daripada rumpai pada bulan pertama dan seterusnya. Kawalan rumpai boleh dilakukan secara manual atau bagi kawasan penanaman yang luas, racun herba boleh digunakan.

Racun herba yang baik digunakan ialah Altrazine 80 WP pada kadar 5.6 kg/ha disembur dua kali; pertama kali semasa pracambah dan kali kedua pada sebulan setengah selepas penyemaian.

Pembajaan
Disyorkan baja 12:12:17:2 pada ladar 600 kg/ha semasa penanaman dan 150 kg/ha urea pada minggu ke 5-6 selepas penanaman.

Baja organik seperti tahi ayam, lembu dan kompos boleh digunakan sebagai baja asas.

Penuaian
Jagung manis, dituai sebaik-baik kernelnya padat (65-75 hari selepas penanaman). Bagi jagung muda, dituai 40 -50 hari selepas penanaman.

Perlu diambil perhatian bahawa jagung manis akan kehilangan kemanisannya dan perlu dipasar dan dimakan sebaik sahaja selepas dituai.

Terdapat 2 jenis perosak atau seranggan yang biasa menyerang tanaman Jagung ini iaitu Penebuk Akar (Stem borer) dan Cob borer (Penebuk tongkol).

1. Penebuk Akar (Stem borer)
Larva memakan daun, tisu daun malah keseluruhan dauh dan batang menyebabkan pertumbuhan terbantut dan hasil yang kurang.

Kawalan:
i. Kutip dan bakar semua batang jagung manis/ muda selepas dituai
ii. Sembur dengan Endosulfan/Sevin/Permethrin/ Phenthoate sebulan selepas penanaman atau tiga kali berterusan pada kadar sekali setiap 2 minggu sekira perlu

2. Cob borer (Penebuk tongkol)
Serangan utama adalah semasa peringkat pembungaan dan berbuah. Larva memakan daun dan tongkol. Ia menebuk dan tinggal dalam tongkol.

Kawalan:
Sukar dikawal tetapi boleh menggunakan Carbaryl dan Dimethoate sekira perlu.

Selain dari serangan Mahkluk perosak Tanaman jagung juga terdedah  dengan pelbagai jenis penyakit seperti di bawah:

1. Hawar Daun (Leaf Blight)
Leison pada daun bermula dengan tompok coklat muda bersaiz 2.5 cm dan semakin membesar. Kebiasaannya, pokok jagung manis/ muda yang diserang akan mati dan daunnya kering. Kulat ini merebak dengan cepat dalam cuaca yang agak lembab dan sporanya kelihatan pada leison.

Kawalan:
i. Tanam varieti resisten
ii. Tanaman bergilir dan sanitasi ladang sebelum menanam
iii. Benih dirawat dengan Thiram atau Captan dengan kadar 12 sudu bagi 1.36 kg benih.

2. ‘Common Smut’
Pembengkakan pada tongkol. Pembengkakan berwarna keputihan dan mengandungi spora berwarna coklat kehitaman atau hitam (smut).

Kawalan:
i. Kutip dan bakar semua bahan tanaman berpenyakit
ii. Benih dirawat dengan Thiram 80% pada kadar 5g/100 g benih.

3. Layu Bakteria
Tanaman berpenyakit akan mengalami keguguran di bahagian teratas tanaman. Keratan bahagian batangnya menunjukkan bahagian layu berwarna coklat.

Kawalan:
i. Melakukan sanitasi ladang dengan mengutip dan membakar semua bahan tanaman berpenyakit
ii. Jangan menanam tanaman di tanah yang berpenyakit
iii. Mengamalkan tanaman bergilir

4. Karat
Daun tua terutama di bahagian bawah permukaan dilitupi dengan spora berwarna keperangan.

Kawalan:
i. Racun kulat
ii. Bakar semua sisa jagung manis/ muda selepas dituai

5. Hawar Upih (Sheath Blight)
Leison kelihatan pada upih daun. Biji benih kelihatan berwarna coklat dengan bentuk yang tidak menentu pada tempat yang diserang.

Kawalan:
i. Kutip dan bakar semua bahagian yang diserang penyakit
ii. Amalan tanaman bergilir
iii. Elakkan kecederaan pada tanaman bagi mengelak tempat serangan pada patogen
iv. Sembur dengan Benomyl (80% a.i.) pada kadar 18 g dalam 18 liter air

Sumber: Pusat Penyelidikan Semongok
Di olah semula oleh : Laksamana

0 ulasan:

Catat Ulasan